Sunday 2 September 2012

Negara Merdeka maknanya orang Cina dan orang India boleh jadi Perdana Menteri

Sebelum anda sebagai orang Melayu ataupun anda sebagai seorang Muslim membaca artikel ini anda mestilah tenangkan jiwa anda dan berpegang teguh kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Di dalam bahasa Inggeris ianya disebut sebagai Supremacy of the Constitution dan Rule of Law

Kedua-dua prinsip tersebut ialah prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara. Perlembagaan tidak pernah sama sekali melarang orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tidak seperti yang terkandung pada sesetengah provisi Undang-undang Tubuh sesebuah negeri. 

UMNO atau United Malays National Organisation juga membenarkan orang bukan Melayu asalkan taraf pribumi atau bumiputeranya jelas untuk diterima sebagai ahli UMNO. Malah orang bukan Melayu yang beragama Islam juga dibenarkan menjadi ahli sehingga diangkat menjadi pemimpinnya.

Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-duanya, mengikut cakap-cakap ramai,  bukanlah berdarah Melayu jati tetapi kini telah dianggap dan diterima secara meluasnya sebagai pemimpin Melayu. Jawatan Perdana Menteri menurut Perlembagaan Persekutuan bukanlah kuasa tertinggi di dalam negara Malaysia.  

Apakah tugas pertama seorang Perdana Menteri?

Tugas ulungnya ialah menjadi Pengerusi kepada Jemaah Menteri. Perdana Menteri ialah orang yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong; iaitu orang yang Yang DiPertuan Agong menurut hematnya MUNGKIN mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perlembagaan tidak menyebut secara jelas dan nyata apakah prinsip asas dalam bernegara di Malaysia; namun Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara tersirat bahawa Prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi berParlimen adalah terpakai di Malaysia. Laporan di dalam Suruhanjaya Reid ada menyatakan tentang prinsip-prinsip ini, namun ramai yang tidak berkesempatan melihat dan membaca isi kandungannya secara zahir.

Setelah Perdana Menteri dilantik, maka beliau hendaklah menasihatkan Yang DiPertuan Agong akan siapakah di kalangan ahli Dewan Parlimen yang akan dilantik sebagai ahli-ahli kepada Jemaah Menteri tersebut. Dan Perdana Menteri juga boleh memecat seseorang ahli Jemaah Menteri yang telah dilantik itu dengan hanya menasihati Yang DiPertuan Agong untuk melakukan sedemikian. Inilah teori asas berkenaan kuasa eksekutif di dalam negara Malaysia meskipun terdapat pengecualian dalam hal-hal yang tertentu. 

Kuasa seorang Perdana Menteri terletak ditangan kuasa majoriti ahli Dewan Rakyat. Sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri yang dipengerusikan olehnya. Dan pada ketika itu negara tidak ada Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri untuk menasihati Yang diPertuan Agong menjalankan tugas eksekutifnya.

Namun janganlah dilupai bahawa Yang DiPertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Dan inilah maksudnya Raja berPerlembagaan.  

Raja berPerlembagan bukanlah sistem monarki mutlak. Ianya adalah satu sistem monarki yang dibimbing oleh sesuatu undang-undang tertinggi bagi sesuatu negara. Pada setiap masa dan saat kuasa Raja berPerlembagaan ini hendaklah wujud dan terlaksana. Sekiranya  seseorang yang menjawat  jawatan Yang DiPertuan Agong itu hilang kuasanya menurut Perlembagaan, maka secara operasi undang-undang (baca: secara automatiknya), seseorang yang menjawat jawatan Timbalan Yang di Pertuan Agong mengambil alih tugasnya di saat dan ketika kuasa orang yang menjawat jawatan Yang diPertuan Agong itu hilang. Dan jika hilang pula kuasa orang yang menjawat jawatan Timbalan Yang DiPertuan Agong, maka kuasa seorang Ketua Utama Negara terletak kepada Majlis Raja-raja.

Raja berPerlembagan ialah suatu kuasa yang melambangi Perlembagaan itu sendiri. Manakala kuasa seorang Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri adalah berasaskan prinsip Demokrasi berParlimen. Kedua-dua kuasa ini ditakluki oleh prinsip Kedaulatan Undang-undang. 

Kedaulatan Undang-undang berasaskan prinsip keadilan. Dan prinsip keadilan bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi moden adalah melalui undang-undang. Inilah konsep sistem pembahagian kuasa di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sistem pembahagian kuasa menyatakan bahawa setiap Cabang Kuasa itu mempunyai kuasa untuk semak dan seimbang di antara satu sama lain.

Undang-undang adalah kuasa. Dan terdapat tiga cabang kuasa yang mengawal selia Undang-undang. Iaitu, kuasa menggubal Undang-undang, kuasa mentadbir Undang-undang dan kuasa melaksanakan Undang-undang. 

Kuasa menggubal undang-undang terletak pada suatu badan yang dinamakan sebagai Parlimen. Kuasa untuk mentadbirnya diketuai oleh Jemaah Menteri dan kuasa melaksananya terletak pada badan kehakiman iaitu Mahkamah. 

Ah Meng telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Selain menjadi pengerusi kepada Jemaah Menteri, tugas Ah Meng ialah menasihati Yang di Pertuan Agong di dalam soal perlantikan seorang Ketua Hakim Negara. Nasihat yang diberikan oleh Ah Meng kepada Yang DiPertuan Agong hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-raja. 

Ah Meng akan terus menjadi Perdana Menteri setakat tempoh yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan tertakluk kepada kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ah Meng juga tertakluk kepada sokongan rakyat yang menjadi pengundi di konstituensi yang mereka dipilih secara majoriti. Ah Meng pula hanya boleh mentadir negara Malaysia melalui Jemaah Menteri yang disusun atur olehnya. Pendek kata, Ah Meng bersama Jemaah Menterinya mestilah mempunyai bakat kepemimpinan yang hebat jika Ah Meng ingin menjadi seorang Perdana Menteri berlandaskan Perlembagaan. Ah Meng juga mesti memimpin Jemaah Menterinya berdasarkan kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang pula mestilah selari dengan konsep keadilan melalui undang-undang.    

Ah Meng bukanlah seorang Ketua Utama Persekutuan dan dia bukanlah pemimpin tertinggi angkatan tentera persekutuan. Ah Meng hanyalah seorang ketua demokrasi berParlimen. Perlembagaan memberikan ruang dan peluang kepada Ah Meng untuk menjadi Perdana Menteri kerana ianya adalah hasil daripada suatu keputusan Kontrak Sosial sebelum wujudnya negara ini. Kontrak Sosial yang berlaku itu adalah benih yang menumbuhkan sebuah negara yang hari ini dinamakan sebagai Malaysia. Tanpa kontrak sosial tersebut, negara Malaysia tiada kewujudannya. Yang ada hanyalah negeri-negeri Melayu yang dinaungi British dan dua wilayah jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu. Juga ada dua wilayah di Borneo yang ditadbir oleh kerajaan British.

Setakat hari ini, semua rakyat bagaikan bersetuju secara senyap bahawa Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu yang beragama Islam dan lahir di Semenanjung Tanah Melayu. Hari esok pula ditentutkan oleh generasi hari ini akan siapakah yang mesti menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia.

Apapun makna merdeka bagi sebuah negara yang bernama Malaysia mestilah berdasarkan kepatuhan penuh kepada Perlembagan Persekutuan. 

Saturday 1 September 2012

Kemerdekaan dan Undang-undang

31 Ogos 1957 adalah tarikh yang ditetapkan oleh para perunding kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai hari untuk mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Apakah status kedaulatan Persekutuan Tanah Melayu sebelum tarikh tersebut? Ya, sebelum 31 Ogops 1957, setiap inci tanah di suatu kawasan geografi yang pernah dinamakan Persekutuan Tanah Melayu ini bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu; (1) Negeri-negeri Melayu yang ditadbir oleh Sultan dengan bantuan penasihat kerajaan British, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu  adalah negeri naungan British, dan (2) Negeri-negeri Selat, iaitu, Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan tanah jajahan British.  

31 Januari, 1948 adalah tarikh di mana wujudnya sebuah kawasan geografi yang dinamai Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya. Pada masa ini British lebih dikenali sebagai sebagai Komanwel British. Pada tempoh masa ini juga Undang-undang Antarabangsa berkenaan kedaulatan bagi negara-negara yang merdeka secara tidak langsung dipandu arah oleh suatu badan antarabangsa yang dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  

Selepas tamatnya, Perang Dunia Kedua, dunia seakan menerima suatu Order Baru iaitu setiap wilayah dan tanah jajahan akan ditentukan kedaulatan bagi masing-masing. Di Asia Tenggara, misalnya, kedaulatan Negara Thailand terus kekal berdaulat dan merdeka sejak abad ke-18. Di Indonesia, gerakan kemerdekaan tanah jajahan Belanda yang dikenali sebagai Hindia Timur Belanda akhirnya mengisytiharkan tarikh 17 Ogos, 1945 sebagai tarikh kemerdekaan wilayah tersebut dari Belanda dan wujudnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka yang dinamakan sebagai Indonesia.

Di Semenanjung Tanah Melayu, penggerak-penggerak kepada usaha mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka diteruskan. Pemimpin pelbagai kaum duduk berbincang untuk membentuk suatu dasar dan garis panduan kepada Perlembagaan bagi negara yang dihasrat kewujudannya ini. Akhirnya, suatu kontrak sosial dibentuk secara berhemah dan bijaksana.

Persoalan yang dibangkitan sebagai intipati kepada Perlembagan Persekutuan Tanah Melayu ialah siapakah rakyat Persekutuan Tanah Melayu? Pada masa tersebut terdapat dua kelompok besar kaum yang menjadi penduduk di Tanah Melayu. Pertama, ialah masyarakat Melayu di kepulauan Nusantara (rantau Asia Tenggara) dan pribumi Tanah Melayu. Kedua, ialah masyarakat imigran dari tanah besar China dan benua kecil Asia Selatan (India). Akhirnya suatu garis panduan kepada soal kewarganegaraan bagi Persekutuan diputuskan sebagai suatu Kontrak Sosial yang akhirnya diangkat kepada suatu suruhanjaya bagi menyusun perlembagaan yang dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid.

Pokok kepada sebuah negara yang berdaulat dan merdeka ialah undang-undang tertinggi bagi negara tersebut mestilah ada dan akan dikuatkuasakan. Undang-undang tertinggi ini dinamakan sebagai Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang inilah yang menyatakan manakah kawasan geografi yang akan diisytiharkan sebagai berdaulat dan merdeka dan siapakah dan bagaimanakah bentuk kuasa yang akan mengurustadbir negara berdaulat dan merdeka itu.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa wilayah geografi yang akan membentuk negara berdaulat dan merdeka ini adalah suatu Persekutuan Negeri-negeri yang akan berdaulat dan merdeka di bawah suatu panji kenegaraan yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Negeri-negeri tersebut yang juga telah wujud dan terpakainya Undang-undang Tubuh bagi negeri tersebut hendaklah memeterai suatu ikatan undang-undang secara bersama-sama bagi membentuk keesahan, wujud dan pemakaian yang sempurna kepada Perlembagaan Persekutuan ini.

Ikatan undang-undang tersebut dimeterai bersama oleh sembilan orang Raja-raja Melayu dan  dua orang Gabenor Pulau Pinang dan Melaka bagi mewakili 11 wilayah yang bersekutu dengan tujuan membentuk sebuah negara. Hal ini dipersaksikan kepada pemimpin pemimpin dari kalangan rakyat Persekutuan, pentadbir dan wakil dari Kerajan British dan kuasa usaha dari kalangan Komanwel British yang ditentukan.  

Sebelum wujud dan terpakainya Perlembagaan Persekutuan, sudah ada dan wujudnya suatu kuasa yang dinamai sebagai Majlis Raja-raja. Majlis Raja-raja adalah nyawa kepada kewujudan Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya Perlembagaan Persekutuan mewujudkan negara Persekutuan Tanah Melayu. 

Sesuatu tanah itu akan hidup jika adanya pokok. Pokok tidak akan tumbuh jika tiada benih yang disemai ke dalam tanah itu. Begitulah hakikatnya kepada sebuah negara. Pokoknya adalah Perlembagaannya dan dalam konteks negara kita benih yang menumbuhkan pokok ialah Majlis Raja-raja yang mengesahwujudkan Perlembagaan tersebut.   

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah suatu contoh di mana undang-undang tersebut dilahirkan secara Kontrak Sosial. Ianya disusun oleh suatu suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Reid dan melalui suatu proses perundangan yang kompleks melibatkan Parlimen British dan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. 

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang untuk mewujudtubuhkan sesuatu entiti yang sah (legal entity) dan seterusnya bertindak sebagai undang-undang tertinggi kepada urustadbir, kawalseliaan dan perjalanan hidup bagi entiti tersebut. Perlembagaan adalah segalanya kepada entiti yang sah tersebut. Semua perkara yang merupakan soal dasar, prinsip asas dan cara untuk menjalankan sesuatu entiti yang sah tersebut hendaklah digariskan secara jelas dan nyata oleh Perlembagaan.

Bagi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, perlembagaan adalah nadi dan nyawa kepadanya. Negara itu dikatakan sebagai sebuah negara yang merdeka adalah kerana kuasa tertinggi (iaitu kuasa manusiawi) yang memerintahnya ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh perlembagaannya. Dan kuasa tertinggi tersebut mestilah dibentuk oleh subjek kepada Perlembagaan itu sendiri. Dan sudah semestilah kuasa (undang-undang) tunggal di mana subjek itu tertakluk adalah terhadap Perlembagaan itu sahaja.

Bagi negara Malaysia, kuasa tertinggi sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan ialah kuasa Yang Dipertuan Agong. Beliau adalah Ketua Utama Negara dan jawatannya adalah secara perlantikan oleh suatu kuasa yang dinamakan sebagai Majlis Raja-raja. Sebelum dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong, beliau mestilah ahli kepada Majlis Raja-raja itu. Dan keahliannya  di dalam Majlis tersebut adalah kerana beliau adalah salah seorang Sultan dan/atau Raja yang sedang memerintah di kalangan sembilan buah negeri yang diketuai oleh Sultan dan/atau Raja. Sudah semestilah dia adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka. 

Malaysia adalah sebuah negara berdaulat kerana pada setiap masa Ketua Utamanya adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka. 

Tuesday 21 August 2012

Apakah itu Mahkamah?

Mahkamah ialah tempat di mana sesuatu prosiding kehakiman dimulakan. Terdapat dua jenis prosiding kehakiman di Mahkamah Keadilan. Pertama, prosedur sivil dan kedua, prosedur jenayah.

Prosiding Sivil boleh dimulakan oleh sesiapa sahaja terhadap sesiapa sahaja. Tuntutan sivil yang paling kerap wujud di Mahkamah Keadilan biasanya dimulakan oleh pihak bank. Pihak bank lah yang paling kerap memfailkan tuntutan Saman ke atas peminjamnya yang ingkar terhadap Perjanjian Pembiayaan. 

Bank akan menjadi Plaintif. Plaintif ialah pihak yang memulakan tindakan Saman. Dan peminjam yang ingkar pembayaran akan dinamakan sebagai Defendan. Kita ambil contoh berikut; di mana 5 tahun yang lepas, Johari membeli sebuah kereta dan membuat pinjaman dengan Bank ABC untuk membiayai pembelian keretanya. Johari telah  menandatangani suatu perjanjian dengan Bank ABC. Perjanjian tersebut ialah Perjanjian Sewa Beli Kenderaan. 

Tempoh bayaran balik pinjaman Johari kepada Bank ABC menurut Perjanjian tersebut ialah selama 9 tahun dan bayaran bulanannya ialah sebanyak RM500 sebulan. Pada tiga tahun pertama sewabeli, Johari berjaya membayar kepada bank tersebut dengan sebaiknya. Manakala sejak, tahun 3 seterusnya, Johari sentiasa lewat membayar hutangnya.

Akibatnya, pada tahun kelima, Johari tertunggak membayar pinjamannya sehingga 9 bulan lamanya. Pihak bank telah mengarahkan peguamnya menuntut kembali kenderaan yang disewabeli oleh Johari dan seterusnya menamatkan kontrak perjanjian Sewa  Beli tersebut. 

Kes tersebut berakhir dengan suatu prosiding Saman oleh pihak bank terhadap Johari untuk menuntut bayaran tertunggak dan baki pinjaman yang mesti dibayar oleh Johari kepada bank.

Johari berasa amat susah hati kerana menerima Saman daripada pihak bank agar beliau hadir ke Mahkamah. Kedudukan kewangan Johari yang amat kritikal tidak membolehkan beliau untuk mendapatkan khidmat guaman. Johari diselubungi oleh rasa takut dan gementar kerana tarikh untuk beliau hadir ke Mahkamah tinggal hanya 2 hari lagi.

Akhirnya, Johari bertemu dengan rakan lamanya yang kini adalah seorang peguam. Beliau meminta nasihat guaman secara pro bono dari rakan peguamnya. Beliau kemudiannya ditanyakan beberapa soalan oleh rakannya.

Peguam: Berapakah jumlah tuntutan Saman tersebut?
Johari: Termasuk tuntutan faedah semuanya berjumlah RM32 ribu.
Peguam: Jika demikian, sekiranya Penghakiman dimasukkan, dalam prosiding perlaksanaan nanti tindakan Kebangkrapan boleh dimulakan pula. 
Johari: Apa? Saya akan dibankrapkan?
Peguam: Begitulah nantinya...
Johari: Jadi, apa yang saya harus lakukan sekarang?
Peguam: Di manakah kenderaan tersebut?
Johari: Saya simpan. Kerana takut ditarik oleh pihak bank. Salahkah saya berbuat demikian?
Peguam: Oh! Saya tak akan komen tentang itu. Cuma... Bolehkah awak serahkah kenderaan itu kepada pihak bank secara sukarela?
Johari: Rugilah saya nanti, ... kerana pihak bank akan lelong kenderaan tersebut dengan harga yang rendah... Saya telah diberitahu oleh seorang rakan, jumlah lelongannya adalah lebih kurang RM11ribu sahaja. Dan saya masih berhutang dengan bank lebih kurang RM21 ribu lagi... 
Peguam: Jika demikian, awak cuba dapatkan harga yang lebih baik untuk kenderaan awak. Jangan risau... Lusa awak hadir ke Mahmakah dan failkan Pembelaan awak. Pasti pihak Mahkamah akan berikan lanjutan masa lagi.
Johari: Bagaimana nak failkan Pembelaan? Saya tidak tahu. 
Peguam: Awak hanya jawab ..... 'Saya tiada pengetahuan tentang perenggan .... Pernyataan Tuntutan tersebut'. Itulah yang awak akan tulis di dalam Pernyataan Pembelaan awak. 

Perbualan sepintas lalu tersebut, sedikit sebanyak mengurangkan rasa kerisauan Johari dan beliau segera menyiapkan Pernyataan Pembelaan seperti yang diajar oleh rakan peguamnya. Johari telah menyiapkan suatu Pembelaan Kosong beliau atau dipanggil sebagai "bare Defence". Meskipun, ianya hanya suatu "bare Defence", secara teknikalnya beliau telah memfailkan Pembelaan terhadap Saman tersebut dan Mahkamah memberikan suatu tarikh sebutan untuk pihak bank memfailkan Penghakiman Terus

Secara ringkasnya, lebih kurang 3 bulan dari tarikh beliau kena hadir ke Mahkamah buat kali pertama, Penghakiman atau Perintah masih belum lagi diperolehi oleh pihak bank ke atasnya. Akhirnya, selepas 6 bulan dari tarikh beliau kena hadir ke Mahkamah, pihak Bank telah mendapatkan Perintah bagi Penghakiman Terus terhadap Johari. Dalam tempoh tersebut, Johari berjaya menjual kenderaannya dengan harga RM25ribu.  

Jumlah tuntutan bank mengikut rekod adalah sebanyak RM34ribu, dan setelah ditolak akhirnya hutang Johari kepada bank hanyalah RM9ribu. Setelah berjumpa dengan pihak bank, hutang beliau telah diberikan pengurangan sebanyak RM5ribu dan cara pembayarannya sebanyak RM150 sebulan sehingga penyelesaian keseluruhannya.

Dalam tempoh 2 tahun selepas itu, Johari berjaya melunaskan hutangnya dengan pihak bank. Pada mulanya tadi, Mahkamah telah menjadi suatu tempat yang amat menakutkan buat Johari, kini tidak lagi. Johari berjaya mengatasi ketakutannya setelah bertemu dengan rakan lamanya. Meskipun, nasihat guaman yang diterimanya adalah berbentuk 'common sense', Johari dapat mengapresiasikan nasihat tersebut dengan kebolehan mindanya berfikir untuk merungkai permasalahan. Demikianlah maksud dan pengertian Mahkmah kepada Johari. Ianya adalah suatu institusi untuk memberikan keadilan kepada semua pihak.   

Saturday 26 May 2012

Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam

Isu berkenaan Saman terhadap Majlis Peguam Malaysia yang difailkan oleh seorang ahli Badan Peguam Malaysia menghangatkan seketika iklim kepeguaman di Malaysia. Hal tersebut terjadi kerana ahli tersebut merasakan bahawa Majlis Peguam Malaysia seakan berat sebelah dalam usaha mereka menerbitkan suatu Resolusi berkenaan Keganasan Tindakan Polis Malaysia terhadap pendemonstrasi jalanan anjuran kumpulan Bersih 3.0.

Artikel kali ini tiada ingin menghurai insiden yang berlaku. Kerana penulis merasakan lebih bagus untuk memperjelaskan kepada umum berkenaan dua badan yang sering disalah tafsirkan oleh jelata dan marhaen. Ini adalah kerana apabila ada sahaja isu yang berkeaan tindakan Majlis Peguam, penulis sentiasa ditanyakan tentangnya kerana mereka mengira penulis juga adalah ahli Majlis Peguam.

Di Malaysia, undang-undang yang sedia ada yang diwujudkan untuk mengawal selia aktiviti dan amalan keprofessionalan Peguam-peguam Malaysia ialah Akta Profession Undag-undang 1976. Di dalamnya, dinyatakan bahawa suatu Badan Peguam Malaysia hendaklah diwujudkan. Dan ahlinya ialah Pengamal Undang-undang yang memiliki Sijil Annual dan Sijil Amalan Guaman yang sah pada sebarang masa. Mereka inilah yang kita sering panggil dan sebut sebagai Peguam.

Peguam di Malaysia mempunyai pelbagai pilihan dalam cara mereka mendapatkan imbuhan dari kerja-kerja guaman yang dilakukan. Kebanyakkan pelatih guaman yang telah diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara sering memulaka karier guamannya sebagai Pembantu Undang-undang di mana-mana firma guaman sedia ada. Mereka ini digajikan dan majikan mereka adalah Peguam juga. Dari segi taraf kedua-dua individu di atas dalam Badan Peguam Malaysia; kedua-duanya adalah sama.

Bagi yang telah mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang ini, mereka akhirnya membuka firma guaman sendiri. Ada yang beramal sebagai Pemilik Persendirian di dalam firma guamannya sendiri dan ada yang berkongsi menubuhan firma guaman perkongsian. Kesemua mereka juga adalah Peguam dan ahli Badan Peguam Malaysia.

Bagaimana cara mereka beramal untuk mendapatkan imbuhan masing-masing itu tidaklah material untuk membezakan taraf mereka sebagai Peguam dan ahli kepada Badan Peguam Malaysa. Taraf professional mereka semuanya adalah sama.

Akta Profession Undang-undang 1976 juga mewujudkan Majlis Peguam. Fungsinya ialah sebagai badan penyelia dan pengawal kepada Badan Peguam Malaysia. Demikianlah tugas hakiki Majlis Peguam. Majlis Peguam bukanlah suatu NGO. Ianya adalah suatu Komiti atau Jawatankuasa yang dipilih di kalangan ahli Badan Peguam Malaysia. Badan Peguam Malaysia adalah organisasinya manakala Majlis Peguam ialah Jawatankuasa Tertinggi kepada Badan tersebut. Demikianlah hubungan antara Majlis Peguam dan Badan Peguam Malaysia dan kedudukan sebenar berkenaan dengannya.

Ramai yang berfikir bahawa Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam adalah entiti yang sama atau ramai yang berfikir bahawa Majlis Peguam itu sebagai suatu organisasi kepada peguam-peguam Malaysia. Kerana mereka berfikir demikianlah saya ditanya oleh orang awam tentang Majlis Peguam kerana mereka fikirkan saya adalah ahlinya.

Istilah Badan Peguam Malaysia jarang digunakan di media. Menjadikan semua pihak merasakan nama entiti itu ialah Majlis Peguam. Istilah Majlis Peguam sering wujud di media dan kewujudannya sering ditafsirkan sebagai suatu organisasi berdaftar.

Sebagai ahli Badan Peguam Malaysia, saya merasakan bahawa Majlis Peguam patut mengelakkan dirinya membuat kenyataan di atas namanya dan hendaklah membuat suatu Resolusi dan ketetapan di atas nama Badan Peguam Malaysia. Kerana inilah entiti yang menunjukkan suara Peguam-peguam di Malaysia. Sesuatu resolusi dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Badan Peguam Malaysia hendaklah melalui Mesyuarat Agungnya, samada Biasa atau Luar Biasa. Dan sebarang resolusi dan ketetapan yang dibuat wajarlah Majlis Peguam memastikan yang ianya secara hakiki dan realiti merupakan suara majoriti ahli Badan Peguam   Malaysia dan bukanlah diputuskan secara teknikal tetapi tidak langsung melambangkan suara majoriti.

Setiap ahli Majlis Peguam mesti peka hal ini kerana mereka telah diberikan kepercayaan oleh ahli untuk memimpin Badan Professional yang amat tinggi penghormatannya di Malaysia. Jika sesautu perkara dilakukan di atas nama Badan ini ianya mestilah benar-benar suara majoriti ahli kerana jika tidak suara majoriti senyap ahli Badan ini akan mengambil tindak balas berbeza yang akhirnya menampakkan Badan yang dihormati ini terdapat kepincangan.

Semuanya akhirnya bergantung kepada rasa hormat antara satu sama lain. Dan rasa hormat ini amat penting bagi Badan Peguam Malaysia kerana Badan ini adalah sangat dihormati semua pihak. Jika rasa hormat terhadap Badan Peguam Malaysia telah mula tercalar, kesan langsungnya akan menimpa senario keadilan dan kepatuhan terhadap undang-undang oleh sekian jelata.

Friday 27 January 2012

Bagaimana nak saman malu bagi kandungan di internet?

Tiba-tiba anda melihat diri anda dimalukan dan/atau difitnah di ruangan Internet. Di blog, mahupun di facebook atau twitter. Proses undang-undangnya sama sahaja. Secara substantifnya, ianya sama seperti secara konvensyional. Cuma perkara pertama yang anda perlu buktikan ialah pengendali web/blog atau pembuat dan/atau penerbit fitnah itu ialah orang yang tertentu. Bagaimana nak memberikan keterangan bahawa orang yang menerbitkan artikel atau mengendalikan web atau blog tersebut adalah seseorang yang berkenaan.

Perkara asas di sini ialah anda mesti mengetahui tentang WHOIS. Apa kah itu WHOIS? Ianya adalah suatu kuiri  tentang Protokol Komunikasi yang secara meluasnya digunakan untuk mengkuiri pengakalan data yang menyimpan maklumat tentang pengguna berdaftar atau penerima serahak sumber Internet.

Mudah difahami ianya adalah Nama Domain atau Domain Name. Setiap Nama Domain pula disandarkan kepada sesuatu Alamat IP atau IP Address.

Apakah itu IP Address? Secara karakternya ianya adalah suatu nama yang menunjukkan apa yang kita cari. Suatu alamat yang menunjukkan di mana ianya beraada/berasal. Suatu laluan yang menunjukkan bagaimana untuk capai ke sana.

Lebih mudah difahami, IP Address boleh menyatakan di laluan manakah sesuatu hubungan ke Internet dari sesebuah komputer. Kebanyakkan komputer berhubung ke Internet melalui sesuatu talian telefon. Dan oleh yang demikian pemunya talian telefon tersebut boleh disapinakan ke Mahkamah untuk memberikan keterangan berkenaan sesuatu komputer yang menerbitkan sesuatu mesej samada bertulis atau bergambar atau berbunyi akan siapakah yang bertanggungjawab ke atasnya.

Namun jika pemunya talian telefon tersebut adalah pihak defendan. Maka pihak plaintif boleh mengenakan suatu presumption bahawa dia adalah penerbit mesej yang berunsur ugutan, fitnah ataupun yang memalukan itu.

Maka jika anda ingin memulakan sseuatu tindakan Mahkamah berkenan saman malu di Internet, anda boleh melakukannya tanpa rasa khuatir. Peguam anda boleh membuat carian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mendapatkan butiran tentang pemunya talian telefon yang mana sesuatu IP Address itu disandarkan.

Pendek kata, tindakan dan/atau tuntutan sivil boleh dilaksanakan.

Sunday 22 January 2012

Kebebasan Asasi Untuk Tak Mahu Dilekatkan Dakwat Kekal Pada Jari Anda

Cadangan beberapa parti politik agar "Dakwat Kekal" digunakan sebagai salah satu cara untuk mengenalpasti bahawa seseorang pengundi telah melaksanakan tugasnya sebagai pengundi dalam pilihanraya bagi menentukan kepemimpinan negara. Penggunaaan Dakwat Kekal tersebut adalah suatu kaedah atau cadangan semata. Dan setakat hari ini belum lagi digubal oleh Dewan Perundangan dan/atau Parlimen Malaysia sebagai salah satu undang-undang di Malaysia.

Kita lebih tepat membicarakan soal ini dalam konteks Perkara 8 iaitu Kesamarataan. Sub Perkara 8(1) menyebut sedemikian. Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Keinginan dan kehendak, idea mahupun cadangan sekelompok masyarakat mesti di ukur secara demokrasi di dalam sesuatu Dewan Perundangan untuk membentuk undang-undang melainkan ada kaedah lain yang menyatakan sebaliknya.

Demikianlah soal Penggunaan Dakwat Kekal. Ianya merupakan hak rakyat umum samada mereka mahu ianya dikenakan ataupun tidak pada jari masing-masing. Dan hak rakyat umum ini dibawalah cadangannya ke sebuah Badan yang akan memperundangankan ianya samada ia wajar menjadi undang-undang mahupun tidak.

Setakat perkembangan hari ini, badan Perundangan sedia ada iaitu Parlimen masih belum membuat apa-apa keputusan mahupun kesediaan untuk menggunakan Dakwat Kekal sebagai satu kaedah menentukan bahawa seseorang Pengundi itu telah mengundi atau belum. Parlimen tidak melihat kepada keperluan tersebut sebagai menghormati keputusan majoriti rakyat yang tak mahukan ianya menjadi suatu provisi kepada undang-undang di Malaysia.

Bagi yang mahukan Dakwat Kekal digunakan pula mestilah menanti kepada suatu keadaan di mana Parlimen telah bersedia untuk meminda undang-undang sedia ada dan hendaklah bersikap menghormati undang-undang sedia ada.

Proses sesuatu undang-undang digubal hendaklah difahami. Bagaimana sesuatu cadangan dan idea dilontar dan akhirnya diangkat untuk dibicarakan di dalam sesuatu Dewan Perundangan juga hendaklah difahami. Dan ketidakfahaman kepada proses ini menyebabkan persepsi yang tidak betul difahami oleh masyarakat Malaysia. Semua individu mestilah bertanggungjawab kepada proses perundangan bagi mengelakkan kesalahfahaman berleluasa.

Bagi yang ingin terus berkempen agar Dakwat Kekal digunakan, laksanakan cara kempen yang produktif dan bukannya dengan cara misrepresentasi dan misconduct. Elakan berkempen secara manipulasi kepada kenaifan sesetengah rakyat akan kefahaman undang-undang mereka. Kerana menghormati Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah amat tepat dan wajar dalam isu-isu sebegini.


Friday 20 January 2012

Apakah itu Hak Asasi?

Hak Asasi adalah gabungjalin dua perkataan. Pertama, hak. Dan keduanya, asasi. Hak merujuk kepada kepunyaan seseorang. Asasi pula merujuk kepada yang secara lahirnya. Justeru, pastilah makna hak asasi ini akan berbeda bagi setiap yang beragama, warna kulit, bangsa, susur galur pertalian darah dan keturunan.

Bagaimana seseoarang yang beragama Islam boleh menyatakan hak melakukan hubungan seks sejenis itu sebagai suatu hak bagi setiap manusia kerana ianya diharamkan dalam ajaran Islam. Justeru, bagi orang Islam, perlakuan mengadakan hubungan seks sejenis tidak termasuk di dalam hak asasi. Kerana bagi orang Islam ianya adalah suatu kesalahan. Begitu juga dengan hak bercakap atau meluahkan pendapat; pastilah ada batasannya kerana bercakap tentang fitnah dan berbohong bukanlah suatu hak bagi setiap orang Islam. Agama lain juga punya tegahan yang berbeza dengan agama Islam. Begitu juga, tetap ada perbedaan peraturan antara agama, Buddha, Hindu dan Kristian. Dan perbedaan tersebut menjadikan hak asasi bagi setiap individu yang berlaianna agama juga berbeda.

Jadi bagi kita nak menggariskan apakah Hak Asasi yang umum dipakai oleh setiap individu di Malaysia adalah amat sukar kerana ada perbatasan agama mahupun bangsa dan keturunan. Hak asasi yang boleh digariskan sebagai suatu panduan; dan panduan tersebut bukanlah sesuatu yang mutlak dipakai secara umum.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan tiada disebut tentang Hak Asasi. Yang disebut ialah Kebebeasan Asasi. Dan kedua istilah ini pasti berbeza. Akhirnya kita melihat apa yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam membicarakan tentang Hak Asasi ianya dinyatakan sebagai Kebebasan Asasi. Dan Kebebasan itu juga termasuklah ianya bersifat Larangan, Perlindungan, Kesamarataan, Kebebasan mahupun Hak. Semuanya dinyatakan dalam suatu Garis Panduan yang amat jelas dan bukannya suatu pemberian hak yang mutlak. Ianya bagaikan air. Boleh mengalir tetapi mengikut acuan dan paip-paip yang direkabentuk mengikut kesesuaian dan cara air itu sepatutnya mengalir.

Akhirnya kita jangan keliru dengan soal Hak Asasi. Ianya bukan persoalan undang-undang semata. Persoalan Hak Asasi juga adalah persoalan dalam beragama dan bersosial sesama ahli masyarakat. Hak Asasi bukanlah milik mutlak sesiapa. Dan cara paling mudah untuk menggariskan Hak Asasi ialah sebagai Kebebasan Asasi. Kebebasan itu bukannya Hak. Kebebasan itu juga bermaksud suatu Larangan ataupun Perlindungan seperti yang dibicarakan di atas.

Bagi seseorang manusia yang sukakan hubungan seks sejenis, mereka tidak boleh menjerit meminta hak. Kerana dalam masa yang sama hak manusia yang menolak hubungan seks sejenis juga mesti diperhitungkan. Jadi garis panduan kita adalah untuk melihat ianya dalam konteks kebebesan. Perlu diingat, kebebasan bukanlah suatu kebebasan untuk memberikan hak dan kesamaraataan tetapi kebebasan juga adalah kebebasan untuk melarang dan memberikan perlindungan. Akhirnya demokrasi boleh menjadi pengadil kepada sesuatu keputusan kepada isu yang menjadi pertikaian. Undang-undang sedia ada pula akan memperkuatkan keputusan yang boleh dibuat secara demokrasi itu.

Wednesday 18 January 2012

Mudahkah kefahaman anda tentang persoalan perundangan

Perundangan di dalam Bahasa Inggeris disebut Legislative. Manakala Undang-undang disebut Law. Itulah perbedaan antara dua istilah tersebut. Dan perkataan Sah bolehlah diterjemahkan sebagai Legal dan Sahlaku ialah Legally. Jika dilihat daripada istilah Bahasa Inggeris kata asal dan katanama terbitan Law dan lain-lainnya hampir sama, manakala di dalam bahasa Melayu ternampak ketara perbedaan antara perkataan Sah dan Undang-undang. Barangkali istilah Undang dan Sah diambil akar kalimatnya dari dua bahasa asal yang berbeda. Sah diambil daripada istilah Bahasa Arab. Apapun yang penting bukan susunan huruf yang menerbitkan sebutannya namun yang lebih penting ialah memahami konteks istilah yang dimaksudkan.

Undang-undang juga terlalu umum maksudnya. Namun bagi pembaca Undang-undang sering memahami ianya sebagai suatu peraturan atau kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh sesuatu masyarakat sivil. Misalnya negara Malaysia yang wujud pada 31 Ogos 1957 memakai suatu asas undang-undang yang tertinggi yang disebut sebagai Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perlembagaan ini sendirinya menjadi Undang-undang Utama bagi negara Malaysia. Kini, kita biasa mendengar istilah "Kontrak Sosial" diungkapkan di sana-sini. Apakah itu Kontrak Sosial? Kontrak Sosial umumnya dimaksudkan sebagai suatu diskusi oleh perkumpulan manusia berkenaan suatu Undang-undang yang akan mengaturbicara kehidupan sesama mereka di suatu kawasan geografi yang tertentu. Dalam konteks negara Malaysia kawasan Geografi yang dimaksudkan ialah Persekutuan Negeri-negeri di Malaysia. Ini adalah kerana terdapat juga kontrak sosial yang telah membentuk Negeri-negeri tersebut sebelum kesemuanya bergabung sebagai sebuah negara yang pada hari ini dinamakan sebagai Malaysia. Oleh yang demikian Kontrak Sosial yang membentuk Negeri itu hari ini dinamakan Undang-undang Tubuh Negeri dan/atau Perlembagaan Negeri manakala bagi negara Malaysia kontrak sosial itu kini disebut sebagai Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia telah menjadikan negara Malaysia sebagai berdaulat dan merdeka. Maknanya dalam hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa, masyarakat antarabangsa menerima Perlembagaan Malaysia sebagai Undang-undang Rasmi dan Tertinggi bagi negara Malaysia.

Semua Undang-undang di Malaysia mestilah dipersusunkan selari dengan hasrat dan kehendak Perlembagaan Persekutuan di mana sekiranya ianya bercanggahan maka Undang-undang tersebut akan menjadi tidak sah atau terbatal.

Tuesday 17 January 2012

Jangan tersalah langkah dengan teknikal undang-undang

Apabila kita berhadapan dengan persoalan undang-undang kita tidak boleh melayan emosi kerana emosi akan menyebabkan kita terlepas pandang tentang soal teknikal undang-undang. Ini selalu berlaku kepada layman. Layman diistilahkan sebagai golongan manusia yang tidak bergelumang dengan persoalan perundangan secara aktif. Maknanya sipembaca undang-undang tidak termasuk dalam golongan layman.

Justeru perlu ada kefahaman yang jelas tentang persoalan perundangan. Apabila kita memfailkan sesuatu kes di Mahkamah sebagai plaintif, kita mesti berhasrat untuk memenangi kes tersebut dalam apajua bentuk. Untuk apa memfailkan kes yang akhirnya merugikan kita semula. 

Oleh yang demikian, para layman hendaklah mendapat nasihat guaman yang sempurna sebelum memulakan apa-apa tindakan undang-undang. Tindakan undang-undang biaasanya dimulakan dengan suatu notis perundangan sebagaimana yang biasa kita dengar iaitu Notis Tuntutan.

Para layman juga hendaklah memahami sesuatu perkataan itu dalam makna perundangan dan bukannya makna peristilahan biasa. Peguam hanya menerima arahan anda dan boleh menambah nasihat guaman yang berikutan namun anda mesti jelas tentang apakah yang anda hasratkan dalam setiap tindakan undang-undang yang ingin dimulakan.

Kemenangan dan kekalahan setiap tuntutan atau pembelaan sering bergantung kepada substantif kes itu. Namun persoalan teknikal undang-undang juga amat mempengaruhi keputusan dalam tindakan undang-undang. Soal teknikal undang-undang ini ialah persoalan prosedur perundangan dan prosedur kehakiman.

Contohnya, setiap Mahkamah mempunyai Kaedah Undang-undang yang mesti dipatuhi oleh setiap pengamal undang-undang. Walaupun secara substantifnya kita mempunyai beban bukti untuk menang dalam kes kita namun kegagalan mematuhi persoalan teknikal undang-undang menyebabkan kita akan tewas.

Tuesday 10 January 2012

Memperundangankan minda anda

Adalah suatu yang amat baik jika anda memperundangankan minda anda. Yakni anda akan berfikir selari dengan kehendak undang-undang. 

Undang-undang adalah suatu istilah yang sangat umum yang melibatkan apajua kontrak sosial antara pihak-pihak yang memperikatkan diri sesama mereka. Masyarakat yang maju sentiasa mematuhi undang-undang. Kerana ianya adalah suatu disiplin yang mengaturcara kehidupan manusia. 

Adalah mudah untuk kita memperundangankan minda kita. Ialah dengan menyebabkan diri kita sentiasa cuba mematuhi apajua undang-undang yang telah diputuskan oleh penggubal yang menjadi jurubicara dalam setiap diskusi antara masyarakat sivil dalam membentuk sesuatu kontrak sosial.