Sunday 2 September 2012

Negara Merdeka maknanya orang Cina dan orang India boleh jadi Perdana Menteri

Sebelum anda sebagai orang Melayu ataupun anda sebagai seorang Muslim membaca artikel ini anda mestilah tenangkan jiwa anda dan berpegang teguh kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Di dalam bahasa Inggeris ianya disebut sebagai Supremacy of the Constitution dan Rule of Law

Kedua-dua prinsip tersebut ialah prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara. Perlembagaan tidak pernah sama sekali melarang orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tidak seperti yang terkandung pada sesetengah provisi Undang-undang Tubuh sesebuah negeri. 

UMNO atau United Malays National Organisation juga membenarkan orang bukan Melayu asalkan taraf pribumi atau bumiputeranya jelas untuk diterima sebagai ahli UMNO. Malah orang bukan Melayu yang beragama Islam juga dibenarkan menjadi ahli sehingga diangkat menjadi pemimpinnya.

Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-duanya, mengikut cakap-cakap ramai,  bukanlah berdarah Melayu jati tetapi kini telah dianggap dan diterima secara meluasnya sebagai pemimpin Melayu. Jawatan Perdana Menteri menurut Perlembagaan Persekutuan bukanlah kuasa tertinggi di dalam negara Malaysia.  

Apakah tugas pertama seorang Perdana Menteri?

Tugas ulungnya ialah menjadi Pengerusi kepada Jemaah Menteri. Perdana Menteri ialah orang yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong; iaitu orang yang Yang DiPertuan Agong menurut hematnya MUNGKIN mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perlembagaan tidak menyebut secara jelas dan nyata apakah prinsip asas dalam bernegara di Malaysia; namun Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara tersirat bahawa Prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi berParlimen adalah terpakai di Malaysia. Laporan di dalam Suruhanjaya Reid ada menyatakan tentang prinsip-prinsip ini, namun ramai yang tidak berkesempatan melihat dan membaca isi kandungannya secara zahir.

Setelah Perdana Menteri dilantik, maka beliau hendaklah menasihatkan Yang DiPertuan Agong akan siapakah di kalangan ahli Dewan Parlimen yang akan dilantik sebagai ahli-ahli kepada Jemaah Menteri tersebut. Dan Perdana Menteri juga boleh memecat seseorang ahli Jemaah Menteri yang telah dilantik itu dengan hanya menasihati Yang DiPertuan Agong untuk melakukan sedemikian. Inilah teori asas berkenaan kuasa eksekutif di dalam negara Malaysia meskipun terdapat pengecualian dalam hal-hal yang tertentu. 

Kuasa seorang Perdana Menteri terletak ditangan kuasa majoriti ahli Dewan Rakyat. Sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri yang dipengerusikan olehnya. Dan pada ketika itu negara tidak ada Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri untuk menasihati Yang diPertuan Agong menjalankan tugas eksekutifnya.

Namun janganlah dilupai bahawa Yang DiPertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Dan inilah maksudnya Raja berPerlembagaan.  

Raja berPerlembagan bukanlah sistem monarki mutlak. Ianya adalah satu sistem monarki yang dibimbing oleh sesuatu undang-undang tertinggi bagi sesuatu negara. Pada setiap masa dan saat kuasa Raja berPerlembagaan ini hendaklah wujud dan terlaksana. Sekiranya  seseorang yang menjawat  jawatan Yang DiPertuan Agong itu hilang kuasanya menurut Perlembagaan, maka secara operasi undang-undang (baca: secara automatiknya), seseorang yang menjawat jawatan Timbalan Yang di Pertuan Agong mengambil alih tugasnya di saat dan ketika kuasa orang yang menjawat jawatan Yang diPertuan Agong itu hilang. Dan jika hilang pula kuasa orang yang menjawat jawatan Timbalan Yang DiPertuan Agong, maka kuasa seorang Ketua Utama Negara terletak kepada Majlis Raja-raja.

Raja berPerlembagan ialah suatu kuasa yang melambangi Perlembagaan itu sendiri. Manakala kuasa seorang Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri adalah berasaskan prinsip Demokrasi berParlimen. Kedua-dua kuasa ini ditakluki oleh prinsip Kedaulatan Undang-undang. 

Kedaulatan Undang-undang berasaskan prinsip keadilan. Dan prinsip keadilan bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi moden adalah melalui undang-undang. Inilah konsep sistem pembahagian kuasa di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sistem pembahagian kuasa menyatakan bahawa setiap Cabang Kuasa itu mempunyai kuasa untuk semak dan seimbang di antara satu sama lain.

Undang-undang adalah kuasa. Dan terdapat tiga cabang kuasa yang mengawal selia Undang-undang. Iaitu, kuasa menggubal Undang-undang, kuasa mentadbir Undang-undang dan kuasa melaksanakan Undang-undang. 

Kuasa menggubal undang-undang terletak pada suatu badan yang dinamakan sebagai Parlimen. Kuasa untuk mentadbirnya diketuai oleh Jemaah Menteri dan kuasa melaksananya terletak pada badan kehakiman iaitu Mahkamah. 

Ah Meng telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Selain menjadi pengerusi kepada Jemaah Menteri, tugas Ah Meng ialah menasihati Yang di Pertuan Agong di dalam soal perlantikan seorang Ketua Hakim Negara. Nasihat yang diberikan oleh Ah Meng kepada Yang DiPertuan Agong hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-raja. 

Ah Meng akan terus menjadi Perdana Menteri setakat tempoh yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan tertakluk kepada kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ah Meng juga tertakluk kepada sokongan rakyat yang menjadi pengundi di konstituensi yang mereka dipilih secara majoriti. Ah Meng pula hanya boleh mentadir negara Malaysia melalui Jemaah Menteri yang disusun atur olehnya. Pendek kata, Ah Meng bersama Jemaah Menterinya mestilah mempunyai bakat kepemimpinan yang hebat jika Ah Meng ingin menjadi seorang Perdana Menteri berlandaskan Perlembagaan. Ah Meng juga mesti memimpin Jemaah Menterinya berdasarkan kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang pula mestilah selari dengan konsep keadilan melalui undang-undang.    

Ah Meng bukanlah seorang Ketua Utama Persekutuan dan dia bukanlah pemimpin tertinggi angkatan tentera persekutuan. Ah Meng hanyalah seorang ketua demokrasi berParlimen. Perlembagaan memberikan ruang dan peluang kepada Ah Meng untuk menjadi Perdana Menteri kerana ianya adalah hasil daripada suatu keputusan Kontrak Sosial sebelum wujudnya negara ini. Kontrak Sosial yang berlaku itu adalah benih yang menumbuhkan sebuah negara yang hari ini dinamakan sebagai Malaysia. Tanpa kontrak sosial tersebut, negara Malaysia tiada kewujudannya. Yang ada hanyalah negeri-negeri Melayu yang dinaungi British dan dua wilayah jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu. Juga ada dua wilayah di Borneo yang ditadbir oleh kerajaan British.

Setakat hari ini, semua rakyat bagaikan bersetuju secara senyap bahawa Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu yang beragama Islam dan lahir di Semenanjung Tanah Melayu. Hari esok pula ditentutkan oleh generasi hari ini akan siapakah yang mesti menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia.

Apapun makna merdeka bagi sebuah negara yang bernama Malaysia mestilah berdasarkan kepatuhan penuh kepada Perlembagan Persekutuan. 

Saturday 1 September 2012

Kemerdekaan dan Undang-undang

31 Ogos 1957 adalah tarikh yang ditetapkan oleh para perunding kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai hari untuk mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Apakah status kedaulatan Persekutuan Tanah Melayu sebelum tarikh tersebut? Ya, sebelum 31 Ogops 1957, setiap inci tanah di suatu kawasan geografi yang pernah dinamakan Persekutuan Tanah Melayu ini bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu; (1) Negeri-negeri Melayu yang ditadbir oleh Sultan dengan bantuan penasihat kerajaan British, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu  adalah negeri naungan British, dan (2) Negeri-negeri Selat, iaitu, Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan tanah jajahan British.  

31 Januari, 1948 adalah tarikh di mana wujudnya sebuah kawasan geografi yang dinamai Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya. Pada masa ini British lebih dikenali sebagai sebagai Komanwel British. Pada tempoh masa ini juga Undang-undang Antarabangsa berkenaan kedaulatan bagi negara-negara yang merdeka secara tidak langsung dipandu arah oleh suatu badan antarabangsa yang dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  

Selepas tamatnya, Perang Dunia Kedua, dunia seakan menerima suatu Order Baru iaitu setiap wilayah dan tanah jajahan akan ditentukan kedaulatan bagi masing-masing. Di Asia Tenggara, misalnya, kedaulatan Negara Thailand terus kekal berdaulat dan merdeka sejak abad ke-18. Di Indonesia, gerakan kemerdekaan tanah jajahan Belanda yang dikenali sebagai Hindia Timur Belanda akhirnya mengisytiharkan tarikh 17 Ogos, 1945 sebagai tarikh kemerdekaan wilayah tersebut dari Belanda dan wujudnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka yang dinamakan sebagai Indonesia.

Di Semenanjung Tanah Melayu, penggerak-penggerak kepada usaha mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka diteruskan. Pemimpin pelbagai kaum duduk berbincang untuk membentuk suatu dasar dan garis panduan kepada Perlembagaan bagi negara yang dihasrat kewujudannya ini. Akhirnya, suatu kontrak sosial dibentuk secara berhemah dan bijaksana.

Persoalan yang dibangkitan sebagai intipati kepada Perlembagan Persekutuan Tanah Melayu ialah siapakah rakyat Persekutuan Tanah Melayu? Pada masa tersebut terdapat dua kelompok besar kaum yang menjadi penduduk di Tanah Melayu. Pertama, ialah masyarakat Melayu di kepulauan Nusantara (rantau Asia Tenggara) dan pribumi Tanah Melayu. Kedua, ialah masyarakat imigran dari tanah besar China dan benua kecil Asia Selatan (India). Akhirnya suatu garis panduan kepada soal kewarganegaraan bagi Persekutuan diputuskan sebagai suatu Kontrak Sosial yang akhirnya diangkat kepada suatu suruhanjaya bagi menyusun perlembagaan yang dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid.

Pokok kepada sebuah negara yang berdaulat dan merdeka ialah undang-undang tertinggi bagi negara tersebut mestilah ada dan akan dikuatkuasakan. Undang-undang tertinggi ini dinamakan sebagai Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang inilah yang menyatakan manakah kawasan geografi yang akan diisytiharkan sebagai berdaulat dan merdeka dan siapakah dan bagaimanakah bentuk kuasa yang akan mengurustadbir negara berdaulat dan merdeka itu.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa wilayah geografi yang akan membentuk negara berdaulat dan merdeka ini adalah suatu Persekutuan Negeri-negeri yang akan berdaulat dan merdeka di bawah suatu panji kenegaraan yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Negeri-negeri tersebut yang juga telah wujud dan terpakainya Undang-undang Tubuh bagi negeri tersebut hendaklah memeterai suatu ikatan undang-undang secara bersama-sama bagi membentuk keesahan, wujud dan pemakaian yang sempurna kepada Perlembagaan Persekutuan ini.

Ikatan undang-undang tersebut dimeterai bersama oleh sembilan orang Raja-raja Melayu dan  dua orang Gabenor Pulau Pinang dan Melaka bagi mewakili 11 wilayah yang bersekutu dengan tujuan membentuk sebuah negara. Hal ini dipersaksikan kepada pemimpin pemimpin dari kalangan rakyat Persekutuan, pentadbir dan wakil dari Kerajan British dan kuasa usaha dari kalangan Komanwel British yang ditentukan.  

Sebelum wujud dan terpakainya Perlembagaan Persekutuan, sudah ada dan wujudnya suatu kuasa yang dinamai sebagai Majlis Raja-raja. Majlis Raja-raja adalah nyawa kepada kewujudan Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya Perlembagaan Persekutuan mewujudkan negara Persekutuan Tanah Melayu. 

Sesuatu tanah itu akan hidup jika adanya pokok. Pokok tidak akan tumbuh jika tiada benih yang disemai ke dalam tanah itu. Begitulah hakikatnya kepada sebuah negara. Pokoknya adalah Perlembagaannya dan dalam konteks negara kita benih yang menumbuhkan pokok ialah Majlis Raja-raja yang mengesahwujudkan Perlembagaan tersebut.   

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah suatu contoh di mana undang-undang tersebut dilahirkan secara Kontrak Sosial. Ianya disusun oleh suatu suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Reid dan melalui suatu proses perundangan yang kompleks melibatkan Parlimen British dan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. 

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang untuk mewujudtubuhkan sesuatu entiti yang sah (legal entity) dan seterusnya bertindak sebagai undang-undang tertinggi kepada urustadbir, kawalseliaan dan perjalanan hidup bagi entiti tersebut. Perlembagaan adalah segalanya kepada entiti yang sah tersebut. Semua perkara yang merupakan soal dasar, prinsip asas dan cara untuk menjalankan sesuatu entiti yang sah tersebut hendaklah digariskan secara jelas dan nyata oleh Perlembagaan.

Bagi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, perlembagaan adalah nadi dan nyawa kepadanya. Negara itu dikatakan sebagai sebuah negara yang merdeka adalah kerana kuasa tertinggi (iaitu kuasa manusiawi) yang memerintahnya ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh perlembagaannya. Dan kuasa tertinggi tersebut mestilah dibentuk oleh subjek kepada Perlembagaan itu sendiri. Dan sudah semestilah kuasa (undang-undang) tunggal di mana subjek itu tertakluk adalah terhadap Perlembagaan itu sahaja.

Bagi negara Malaysia, kuasa tertinggi sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan ialah kuasa Yang Dipertuan Agong. Beliau adalah Ketua Utama Negara dan jawatannya adalah secara perlantikan oleh suatu kuasa yang dinamakan sebagai Majlis Raja-raja. Sebelum dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong, beliau mestilah ahli kepada Majlis Raja-raja itu. Dan keahliannya  di dalam Majlis tersebut adalah kerana beliau adalah salah seorang Sultan dan/atau Raja yang sedang memerintah di kalangan sembilan buah negeri yang diketuai oleh Sultan dan/atau Raja. Sudah semestilah dia adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka. 

Malaysia adalah sebuah negara berdaulat kerana pada setiap masa Ketua Utamanya adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka.